Showing posts with label Panduan. Show all posts
Showing posts with label Panduan. Show all posts

Saturday, 11 August 2012

8 bulan ~ dah banyak Hakim pandai..

Assalamualaikum...

Sebelum nak cerita pasal Hakim, nak cakap pasal GA. Daripada komen-komen di entry sebelum ni, ada yang mintak untuk ikut tarikh tamat yang asal sebab belum sempat join, dan ada yang cakap kalau pos hadiah pun mungkin orang dah balik kampung awal, tak de orang kat rumah. Jadi aku decide tuk teruskan je la tarikh tamat yang asal tu iaitu 12hb ogos 2012. Kepada yang cakap nak join tu, sila join cepat-cepat ye. Tinggal 2 hari je lagi ni tau. Yang dah join tu sabar ye, kalau ada rezeki menang tak kemana..hehe...

Hakim hari ni dah cukup 8 bulan. Dah macam-macam benda baru yang dia pandai. Yang selalu buat semua orang ketawa, Hakim dah pandai lentok-lentokkan kepala dia ke kiri dan ke kanan. Mula-mula dulu dia buat camtu bila kita nyanyikan 'La Ilahaillallah..Muhammadurrasulullah..' Tapi sekarang bila dengar zikir-zikir lain, lagu-lagu kat radio atau tv, semua dia nak lentokkan kepala. Kadang-kadang sekali badan dia gerakkan macam nak berjoget pulak. Time nak suapkan dia makan, bacakan doa makan pun dia buat camtu. Hahaaa...memang satu rumah ketawa aje tengok aksi dia tu. Entah dari mana dia belajar tak tahu la.

Selain tu, Hakim dah pandai bercerita tau. Dalam bahasa dia la, memang tak paham pun. Tapi tu ada time dia la. Setakat ni bunyi yang dapat difahami ialah 'da' 'bah' 'abah' 'babah' 'ma'. Tapi dia sendiri pun tak tau apa yang disebut tu. Baru aku tau rupanya perkataan abah dan mak memang asalnya dari bunyi/perkataan awal bayi. Patut la ada orang cakap budak akan pandai sebut 'abah' dulu. Kalau sebut 'ibu' mesti lambat baru dia boleh sebut. Kalau 'umi' lagi la lambat kot.

Hakim punya movement pulak,camane ek nak cakap.. Dia memang dah lama boleh meniarap sendiri. Tapi dari dia 6 bulan lebih, dia hanya boleh meniarap dan pusing-pusing ke kiri dan ke kanan. Kadang-kadang dia boleh buat pusingan 360 darjah dalam keadaan meniarap tu. Tapi sampai sekarang dia masih belum boleh bergerak ke depan dalam keadaan menirap. Merangkak lagi la belum. Kadang-kadang nampak dia nak gerak tapi macam makin ke belakang. Kadang-kadang dia cuba angkat punggong/menonggek, tapi terlentang balik. Setakat tu je la yang dia boleh. Bukan boleh lama-lama baring atau meniarap, mesti tak lama nak nangis je.

Hakim perasan dah boleh berdiri

Kalau duk dalam walker memang dia suka sangat. Laju je dia kayuh kaki nak mencapai-capai benda yang dia nampak. Kalau berdirikan dia pun memang dia suka, kadang-kadang berdirikan dia pijak lantai, laju je kaki dia melangkah. Perasan dah besar la Hakim ni kan. Belum boleh berdiri sendiri pun lagi dah berangan nak berdiri dan berjalan aje.

Gigi?? Belum tumbuh pun lagi. Tapi asyik nak menggigit je. Gigit dengan gusi dia pun sakit tau. Sekarang selalu je dia gigit my nipple time menyusu tu. Huhuuu..tu belum ada gigi, kalau dah ada gigi camane lah kan. Betul ke kalau budak nak tumbuh gigi mesti demam? Setakat ni Hakim memang tak pernah demam, dari lahir sampai sekarang. Sihat-sihat je. Walaupun dia seorang yang 'kecik'. Berat badan dia kalau ikut graf perkembangan bayi tu, memang tak cukup naik. Tak tau nak bagi makan apa dah. Macam tu jugak. Minggu depan baru pergi klinik kesihatan untuk check up Hakim.


wassalam^^

Tuesday, 18 October 2011

Menyambut Kelahiran Bayi~Panduan untuk suami

Assalamualaikum...

Hari ni nak share tentang kaedah menyambut kelahiran bayi. Islam menggariskan beberapa perkara yang disunatkan sewaktu menyambut kelahiran bayi.

Panduan Untuk Suami

# Membaca surah-surah berikut semasa menanti saat kelahiran bayi:
  • Surah al-Inshiqaq : 1-5 bermaksud:
Apabila langit terbelah; serta mematuhi perintah tuhannya dan sudah semestinya ia patuh; dan apabila bumi diratakan; serta mengeluarkan apa yang di dalamnya dan menjadi kosong; serta mematuhi perintah tuhannya dan sudah semestinya ia patuh.
  • Surah al-Hasyr : 3 bermaksud:
Dan kalaulah tidak kerana Allah telah menetapkan pengusiran (yang demikian buruknya) terhadap mereka, tentulah ia akan menyiksa mereka di dunia dan dalam pada itu mereka akan beroleh azab seksa neraka.

# Bersama-sama isteri sewaktu saat kelahiran.

# Sunat diazankan dan diiqamatkan secepat mungkin.

Setelah dipotong tali pusatnya dan dibersihkan serta dibenarkan melihat. Dilakukan oleh bapa bayi atau waris tertua dalam keluarga tersebut kerana inilah komunikasi awal sebagai pengenalan  terhadap kalimah-kalimah Allah s.w.t. untuk diperdengarkan kepadanya. Selain menjauhkan dari gangguan jin dan syaitan.

Diriwayatkan dari Abi Rafi a.s. katanya yang bermaksud:
"Aku melihat Rasulullah s.a.w. berazan di telinga Hasan bin Ali ketika ia baru dilahirkan oleh Fatimah." (H.R. Abu Daud dan Tarmizi)

Husain bin Ali r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa dikurnia anak lalu mengucapkan azan pada telinga kanan bayinya dan mengucapkan iqamat pada telinga kirinya, maka si bayi akan terhindar dari gangguan syaitan." (H.R. Al-Baihaqi).
  • Azan di telinga kanan.
  • Iqamah di telinga kiri.  
  • Membaca surah al-Qadar di telinga kanan.
  • Membaca surah al-Ikhlas di telinga kiri. - Mohon supaya anak tersebut terselamat dari perbuatan zina, dikuatkan iman serta dijauhkan dari syirik.
  • Tahnik - Tahnik dengan manisan madu atau sedikit kurma. Menggunakan jari manis yang dibaca padanya surah al-Insyirah. Dan baca dari surah Toha:25-28. Dilakukan sebelum bayi diberi susu ibu. Semoga apabila dewasa ia akan bercakap perkara yang benar dan menjadi anak yang soleh dan baik budi pekertinya.
  • Untuk memperolehi keberkatan, seseorang yang dipilih melakukan tahnik seelok-eloknya orang yang bertaqwa kepada Allah s.w.t.
  • Abu Musa r.a. berkata, "Aku dikurniakan seorang putera. Kemudian aku membawanya kepada Nabi. Baginda menamakannya Ibrahim, membersihkan mulutnya dengan kurma, dan didoakan agar mendapat keberkatan, selepas itu barulah ia diserahkan kepadaku."
# Mencukur kepala.

Dalam Muwata' Imam Malik diceritakan ayah Jaafar bin Muhammad berkata: " Fatimah telah menimbang rambut putera-puteranya lalu menimbangnya dengan perak dan nilainya disedekahkan kepada fakir miskin."

Mencukur rambut lazimnya dilakukan pada hari ketujuh selepas kelahiran.

#Memberi nama anak.

Menamakan anak dengan nama yang membawa maksud dan pengertian yang baik kerana itu merupakan doa kepada bayi.

#Aqiqah.

Dari segi syariat aqiqah ialah menyambelih kambing untuk bayi yang baru dilahirkan.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
" Semua anak tergantung (tergadai) dengan aqiqah, disembelih pada hari ketujuh, diberi nama, dan dicukur rambutnya."(Hadith Shahih)

Ummu Karaz Al Kabiyah berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang aqiqah. Baginda bersabda yang bermaksud:
" Untuk seorang putera dua ekor dan untuk seorang puteri seekor dan tidak ada salahnya kambing itu jantan atau betina."

Terdapat juga riwayat bahawa seekor kambing disembelih apabila seorang bayi lelaki lahir. Ini berkait dengan sunnah Rasulullah s.a.w. apabila Hasan dan Husain r.a. dilahirkan.

Ahmad bin Hambal berkata, " Penyembelihan hendaklah dilakukan pada hari ketujuh, jika tidak pada hari keempat belas, dan jika tidak pada hari keduapuluh satu."

Beberapa ulama berpendapat jika penyembelihan tidak dilakukan pada hari-hari tersebut, bolehlah dilakukan pada hari-hari lain.

Jika seseorang tidak mampu melaksanakan aqiqah, maka dia tidak harus memaksa dirinya melakukannya.

Memasak haiwan aqiqah adalah lebih diutamakan (digalakkan) dari daging mentah untuk memudahkan fakir miskin menikmatinya.

Umur aqiqah yang disembelih sesuai dengan syarat-syarat aqiqah, sihat dan tidak cacat.

Tidak sah seekor kambing disembelih oleh beberapa orang lain untuk beberapa orang anak mereka.

Sebaik-baiknya aqiqah itu berupa kambing, unta, lembu, atau kerbau.

Anak-anak dianjurkan menyembelih aqiqah untuk ibu bapa mereka jika mereka mengetahui bahawa aqiqah untuk ibu bapa belum dilakukan.


Semoga memberi manfaat kepada semua yang membaca. Diambil dari sumber bahan bacaan dan diringkaskan. Kalau ada kemusykilan boleh bertanya kepada yang lebih arif atau mencari dari sumber-sumber lain. Malu bertanya sesat jalan, malas membaca sendiri yang rugi kan...>_<

Gambar: Google image

Wallahualam....

~Wassalam~