Showing posts with label kisah hidup. Show all posts
Showing posts with label kisah hidup. Show all posts

Friday, 12 October 2012

Mom & Baby Expo, Danga city mall


Assalamualaikum...

Baru nak cerita aktiviti hari ahad lepas, hehe..Hari ahad lepas banyak aktiviti, pagi sampai malam. Pagi tu pukul 10 lebih mandikan Hakim dalam kolam kecik tu, bukan main lagi sukanya dia. Nak angkat mengamuk tak nak naik, nak main air lagi padahal dah bersin-bersin dah tanda sejuk.

hakim pegang apa la tu..hee..^^
Sebenarnya plan nak pergi Mom & baby expo di Danga city mall, JB. Tapi pagi tu abah mertua ajak ke Hari ladang ARB (MARDI) di Kluang. Lebih kurang cam MAHA la tapi kecik je. Ladang dia memang besar tau. Kalau siapa pernah lalu, tepi jalan je, jalan ke Kluang, nampak lembu-lembu putih sedang makan rumput. Sebelah kanan kalau dari bandar tenggara ni lembu-lembu putih (baka brahman), sebelah kiri pulak kambing boer. Memang pemandangan macam berada di ladang di new zealand kot..haha..macam pernah pegi new zealand je. Eh tapi baka brahman ni tak silap dari australia la..hehe.

Lembu baka brahman

kejap je dapat pakaikan topi tu, sekejap je dia dah tarik nak buang..

Balik dari tengok lembu dan kambing tu dah pukul 3 petang. Dah penat dan pening kepala pun ada. Terus tidur. Tapi dalam kepala duk pikir nak pergi expo mom&baby tu. Encik apis pun banyak kali kejut tanya nak pergi tak. Dia sebenarnya kalau tak pergi lagi dia suka. Last-last pukul 5 baru siap-siap mandikan Hakim, sempat tidurkan dia kejap sementara kitorang bersiap. Pukul 6 lebih baru keluar rumah. Tu yang pukul 7 lebih sampai JB.

Expo ni bermula hari jumaat sampai ahad, 10 pagi sampai 9 malam. Dapat pergi sekejap je,last minute. Sampai dah pukul 7.30 malam, jalan pusing semua booth sampai pukul 8.40 malam. Ada booth yang dah kemas barang pun.  First beli berus pencuci straw botol air hakim. Jalan lagi, beli baju hakim sehelai dan kasut sekali stokin yang comel dan kelakar tu..cer tengok gambarnya tu. Nak beli kaler biru tapi dah abis yang kecik. Beli la kaler merah.


Pastu jalan lagi jumpa booth jual playmat. Memang dah beli playmat sekeping letak tepi katil. Tapi Hakim dah banyak langkahnya. Dia suka pulak turun katil pastu jalan ke hujung katil sampai meja solek, pegang la apa yang ada kat situ. Tapi lantai kat situ memang mozek, tak berlapik. Setakat ni tak de la jatuh lagi. Tapi takut la jugak nanti terjatuh kan. So kami beli lagi playmat kat booth tu. Kali ni yang besar dari yang first dulu,RM99.


Last sekali beli diapers Hey baby kat booth Drypers,murah, 2 yang besar dapat RM45, kiranya satu RM22.50. Ingat nak beli cloth diapers, tapi tak jumpe pulak boothnya. Cloth diapers hakim baru ada 6 keping, tu yang kena campur guna diapers pakai buang jugak. Nak beli mainan tak jumpe yang berkenan. Ramai orang lagipun walaupun dah nak tutup. Ada booth-booth yang masih sesak.
Lepas tu dah lapar, pergi makan kat Mama chop papa grill di Tampoi,JB. Dua-dua oder grilled sirloin steak, steak daging batang pinang. Sebab dah lama tak makan. Tapi memang agak mahal jugak kat sini. RM16.90 satu set tu. Tapi puas hati jugak la,besar steaknya. Balik rumah sampai jam 11.30 malam, kepenatan dan mengantuk..!!
Grilled sirloin steak

Wassalam^^

Saturday, 11 August 2012

8 bulan ~ dah banyak Hakim pandai..

Assalamualaikum...

Sebelum nak cerita pasal Hakim, nak cakap pasal GA. Daripada komen-komen di entry sebelum ni, ada yang mintak untuk ikut tarikh tamat yang asal sebab belum sempat join, dan ada yang cakap kalau pos hadiah pun mungkin orang dah balik kampung awal, tak de orang kat rumah. Jadi aku decide tuk teruskan je la tarikh tamat yang asal tu iaitu 12hb ogos 2012. Kepada yang cakap nak join tu, sila join cepat-cepat ye. Tinggal 2 hari je lagi ni tau. Yang dah join tu sabar ye, kalau ada rezeki menang tak kemana..hehe...

Hakim hari ni dah cukup 8 bulan. Dah macam-macam benda baru yang dia pandai. Yang selalu buat semua orang ketawa, Hakim dah pandai lentok-lentokkan kepala dia ke kiri dan ke kanan. Mula-mula dulu dia buat camtu bila kita nyanyikan 'La Ilahaillallah..Muhammadurrasulullah..' Tapi sekarang bila dengar zikir-zikir lain, lagu-lagu kat radio atau tv, semua dia nak lentokkan kepala. Kadang-kadang sekali badan dia gerakkan macam nak berjoget pulak. Time nak suapkan dia makan, bacakan doa makan pun dia buat camtu. Hahaaa...memang satu rumah ketawa aje tengok aksi dia tu. Entah dari mana dia belajar tak tahu la.

Selain tu, Hakim dah pandai bercerita tau. Dalam bahasa dia la, memang tak paham pun. Tapi tu ada time dia la. Setakat ni bunyi yang dapat difahami ialah 'da' 'bah' 'abah' 'babah' 'ma'. Tapi dia sendiri pun tak tau apa yang disebut tu. Baru aku tau rupanya perkataan abah dan mak memang asalnya dari bunyi/perkataan awal bayi. Patut la ada orang cakap budak akan pandai sebut 'abah' dulu. Kalau sebut 'ibu' mesti lambat baru dia boleh sebut. Kalau 'umi' lagi la lambat kot.

Hakim punya movement pulak,camane ek nak cakap.. Dia memang dah lama boleh meniarap sendiri. Tapi dari dia 6 bulan lebih, dia hanya boleh meniarap dan pusing-pusing ke kiri dan ke kanan. Kadang-kadang dia boleh buat pusingan 360 darjah dalam keadaan meniarap tu. Tapi sampai sekarang dia masih belum boleh bergerak ke depan dalam keadaan menirap. Merangkak lagi la belum. Kadang-kadang nampak dia nak gerak tapi macam makin ke belakang. Kadang-kadang dia cuba angkat punggong/menonggek, tapi terlentang balik. Setakat tu je la yang dia boleh. Bukan boleh lama-lama baring atau meniarap, mesti tak lama nak nangis je.

Hakim perasan dah boleh berdiri

Kalau duk dalam walker memang dia suka sangat. Laju je dia kayuh kaki nak mencapai-capai benda yang dia nampak. Kalau berdirikan dia pun memang dia suka, kadang-kadang berdirikan dia pijak lantai, laju je kaki dia melangkah. Perasan dah besar la Hakim ni kan. Belum boleh berdiri sendiri pun lagi dah berangan nak berdiri dan berjalan aje.

Gigi?? Belum tumbuh pun lagi. Tapi asyik nak menggigit je. Gigit dengan gusi dia pun sakit tau. Sekarang selalu je dia gigit my nipple time menyusu tu. Huhuuu..tu belum ada gigi, kalau dah ada gigi camane lah kan. Betul ke kalau budak nak tumbuh gigi mesti demam? Setakat ni Hakim memang tak pernah demam, dari lahir sampai sekarang. Sihat-sihat je. Walaupun dia seorang yang 'kecik'. Berat badan dia kalau ikut graf perkembangan bayi tu, memang tak cukup naik. Tak tau nak bagi makan apa dah. Macam tu jugak. Minggu depan baru pergi klinik kesihatan untuk check up Hakim.


wassalam^^

Saturday, 16 June 2012

Jangan tamak dan membazir

Assalamualaikum...

Masa cuti sekolah yang lepas, banyak majlis perkahwinan yang berlangsung tak kira di mana pun kan. Aku pulak pergi majlis sepupu kahwin di Kelantan. Namanya kenduri kawen kan, mesti la berkaitan makanan. Aku ni dulu-dulu kalau pergi kenduri kawen, mesti ambil nasi sikit-sikit je, lauk pun agak-agak nak makan la kan. Dulu aku tak makan banyak kot. Ambik sikit-sikit yang nak makan je la. Nanti tak de la membazir.

Tapi sekarang ni, (sejak dah kawen dan jadi mak budak ni), bila pergi kenduri kawen, bukan main berselera lagi nak makan. Ambik nasi lebih sikit, lauk pun, semua jenis mesti ambik, penuh pinggan. Sampai encik apis tengok pun tak percaya. Tapi masa kenduri kawen (orang kelate sebut 'bekwoh') sepupu kat Kelantan tu, memang sedap-sedap masakannya. Habis licin aku makan tau. Tak de buang-buang. Rasa nak tambah je, tapi segan la pulak kan. Ada yang tegur, 'fuh..licin makan..'. Aik macam perkara yang salah pulak bila makan licin.

jemput makan^^

Panjang pulak ceritanya. Sebenarnya nak cakap tentang amalan sesetengah orang yang suka tamak dan membazir. Dari apa yang aku perhatikan la, ada orang yang suka ambil makanan banyak-banyak dalam pinggan, contohnya kat majlis kenduri kawen. Pastu yang dimakannya sikit je, banyak yang tak habis pun. Last-last masuk plastik sampah. Benda ni macam dah jadi kebiasaan atau amalan sesetengah orang. Kenapa ek perlu jadi tamak dan akhirnya membazir?? Membazir tu kan amalan syaitan.

Kita kat Malaysia ni masih kaya dengan makanan. Cuba bayangkan mereka yang berada di tempat yang dilanda bencana, pergolakan, kemiskinan, dan macam-macam lagi. Nak dapatkan sebiji nasi, sejebis roti, pun susah.

gambar mr. google

Jadi kita sepatutnya bersyukur dengan rezeki dan kesenangan yang Allah pinjamkan ni. Buang la sikap tamak dan suka membazir tu. Tak kira sewaktu kenduri kawen ke, makan di rumah, di kedai makan, di dewan makan asrama ke. Ingat..jangan membazir tau!!


wassalam^^

Wednesday, 13 June 2012

Perjalanan balik kampung yang sangat jauh dan penat

Assalamualaikum...

Entry sebelum ni dah cerita pasal road tax mati yang baru teringat masa dah on the way balik kampung. Macam-macam dugaan nak balik kampung dan masa di kampung. Mula-mula, malam sebelum balik kampung, iaitu rabu malam khamis, Hakim bangun pukul 3 pagi menangis-nangis tak nak tidur dah walaupun dah disusukan. Pujuk-pujuk, dia tidur balik, tapi sekejap je, pukul 4 lebih dia bangun lagi. Aku pun cakap kat encik apis, 'Hakim nak berak ni kot..seharian dia tak berak lagi'.

Sebenarnya aku dah start bagi Hakim makan sejak dia 5 bulan lebih. Nanti la cerita pasal bagi Hakim makan ni. Jadi, sejak bagi makanan tambahan, Hakim susah sikit la nak berak, perut dia baru nak belajar memproses makanan. Encik apis pun amek ubat berak yang masuk kat bontot tu (sorry kalau bahasa kasar, tak tau nak guna perkataan ape dah). Masukkan ubat tu, tak lama Hakim pun berak, banyak jugak. Lepas tu baru la Hakim senyum-senyum, susukan dia sekejap baru dia sambung tidur. Dah pukul 5 pagi kot masa tu, esok nak bangun pagi-pagi nak balik kampung.

Dugaan kedua pulak, pasal road tax kereta dah mati. Boleh baca la kisahnya kat entry tu ye. Dalam perjalanan balik kampung tu, Hakim senang je tidur, dia bangun pun nak nenen, pastu sambung tidur.


Ni first time aku makan marrybrown tau..di Raub
Ikut plan, khamis balik kuala lipis, sampai kan dah malam. Pagi Jumaat baru bertolak ke Kelantan, majlis kenduri kawen sepupu tengahari Jumaat tu. Tapi malam tu sampai je rumah di kuala lipis, umi aku ajak balik malam tu terus. Sebenarnya, kebetulan adik ipar aku nak ke Kelantan jugak, ikut kawan dia balik kampung. Jadi kitorang satu jalan la. Dan diorang singgah rumah aku di kuala lipis malam tu, sebelum teruskan perjalanan ke Kelantan.

Last-last encik apis setuju nak terus gerak ke Kelantan malam tu, lepas mandi dan rehat sekejap. Kiranya gerak sama-sama la dua buah kereta. Sampai rumah ayah Ngah di Melor, Kelantan pukul 2.30 pagi. Dugaan lagi, Hakim dah lama tidur dalam kereta. Bila dah sampai dia dah tak nak tidur pulak. Bayangkan encik apis yang dah penat drive, dan aku pun penat dan mengantuk, nak kena layan si Hakim yang tak nak tidur tu. Pukul 6 pagi baru dia tidur. Kitorang sempat tidur kejap je la, pukul 8 lebih dah kena bangun siap-siap nak pergi rumah ayah Su tempat majlis tu. Sangat la penat dan mengantuk!!!

Dugaan sepanjang di Kelantan tu pulak, Hakim memang tak boleh didukung atau dipujuk oleh orang lain. Dia nak umi dan abah dia jugak. Kalau orang lain dukung terus dia menjerit sekuat hati, tak nak berenti sampai la aku atau encik apis amek dia. Huhh..geram pun ada dengan Hakim ni tau..sabar je la. Dia rasa lain kot masa kat sana, orang-orang nya semua lain, tak pernah tengok, tu yang meragam je. Lagi satu memang cuaca panas. Tidur pun susah, bila masuk kereta baru nak tidur.

sempat menyusu dalam bilik pengantin

last-last lepak dalam kereta sebab dalam rumah panas dan ramai orang

Majlis sebelah lelaki pulak hari Sabtu. Ikut plan terus nak balik kuala lipis lepas majlis belah lelaki tu. Tapi majlisnya dah lambat, balik dah pukul 5 petang. Singgah rumah ayah Su lagi. Pastu diorang tak bagi balik lagi sebab malam tu keluarga belah lelaki nak datang. Ada buat makan-makan sikit. Dah terkandas untuk balik lipis.


yang atas rumah perempuan, yang bawah rumah lelaki

Jadi pagi Ahad baru balik, pukul 7 pagi gerak. Sampai kuala lipis pukul 12 tengahari. Rehat, mandi, makan, gerak terus balik johor pulak, dalam pukul 3.30 petang. Sampai bandar tenggara dah pukul 12 tengah malam.

Jauh kan perjalanan kitorang. Hakim lagi la, kecik-kecik dah jalan jauh camtu. Perjalanan jadi lama sebab berenti makan, solat dan rehat. Tapi Hakim dalam kereta banyak tidur je. Sampai je rumah mak mertua, dia bangun, bawak dia masuk rumah, dia tengok kedua-dua atok dia, dan mak su dia, sengih-sengih je. Past kat atok dia ok je. Tak de nak nangis-nangis. Agaknya dalam otak dia pikir ni la orang-orang yang dia kenal, dah lama tak nampak. Macam-macam la Hakim ni.


p/s: panjang kan entry ni..perjalanan jauh punya pasal..entry pun panjang la..^^


wassalam^^

Tuesday, 5 June 2012

Patin masak tempoyak

Assalamualaikum...

Semalam tengok orang masak sambal tempoyak. Tak boleh jadi ni..terliur la. Memang feberet la tempoyak ni. Sambal tumis tempoyak, sambal tumbuk tempoyak, patin masak tempoyak, semua feberet tu. Tadi buka peti ais nampak ikan patin pulak. Ape lagi..masak patin tempoyak la.

Tapi kat rumah mak dan abah mertua aku ni, semua tak biasa makan tempoyak. Termasuk la encik apis. Orang johor kan..memang tak biasa makan tempoyak. Encik apis kalau sambal tumis tempoyak tu dia makan jugak sikit-sikit. Jadi aku masak tiga ketul je ikan patinnya untuk masak tempoyak. Selebihnya aku masak goreng berlada, untuk orang lain yang tak makan tempoyak tu.


Patin masak tempoyak

Sangat senang masak patin tempoyak ni. Ni cara orang pahang ye. Kalau orang negeri sembilan dan orang perak tu lain pulak kot cara masaknya.

Kunyit hidup dan cili padi ditumbuk, masuk dalam periuk, masukkan tempoyak, masukkan air, masak atas dapur, masukkan ikan patinnya dan daun kesum. Jangan lupa garam ye. Boleh jugak letak keledek yang dipotong kecil.


Patin goreng berlada
Ha..patin goreng berlada ni sedap jugak tau. Gaul ikan patin dengan kunyit dan garam, then goreng. Pastu tumis bawang merah dan bawang putih yang dikisar, dah garing, masuk cili yang dikisar kasar, boleh campur cili hijau besar dan cili padi supaya tak pedas sangat. Masukkan bawang besar yang dihiris, masukkan sedikit air asam jawa. Garam secukup rasa..pastu masukkan ikan patin yang digoreng tadi, gaul sebati ye..siap!!



wassalam^^

Sunday, 27 May 2012

Dah makan Lime pepper chicken chop

Assalamualaikum...

Semalam tengok kat blog msredcheesecake, dia makan lime pepper chicken chop. Ingatkan kat mane la dia makan tu. Rupanya kat Pizza Hut. Baru tau Pizza Hut ada menu-menu baru camtu. Rupenya encik apis dah lama tau. Sebab kan ada iklan dia. Aku ni je yang ketinggalan zaman..huhu..

Malam tadi kebetulan nak hantar adik ipar ke Kluang, dia nak naik bas ke KL. Pergi tak sempat makan malam lagi. Jadi kelaparan la. Pikir-pikir nak makan apa, teringat lime pepper chicken chop yang msred ceritakan tu. Apa lagi pergi Pizza Hut la.


Boleh tahan la rasa dia. Sayur tu aku tak leh nak makan sebab dia tak masak kot. Kentang tu pulak sedap lagi kentang putar KFC. Ayamnya ok la, cuma memang tak cukup!!tengok la gambar tu seketul kecik je kan..


wassalam^^

Saturday, 26 May 2012

First time Hakim jatuh katil

Assalamualaikum...

26 Mei 2012, Sabtu, antara jam 1.15-1.30 pagi, Hakim pertama kali jatuh dari katil. Bukan katil pun. Katilnya dah diturunkan, kira tidur atas tilam la. Tapi tilamnya tinggi la jugak. Bayangkan Hakim jatuh dari tilam dengan ketinggian camtu.


Macam biasa nak tidurkan Hakim malam, susukan dia secara baring. Biasa dia akan senang tertidur. Tapi kadang-kadang ada masa dia susah nak tidur. Malam tadi pulak pergi Kluang nak cari walker untuk Hakim. Tapi tak jumpe yang berkenan, sebab harga semua mahal-mahal, RM 200 lebih semua. Balik sampai rumah dah pukul 12 lebih. Hakim dah tidur dalam kereta sepanjang perjalanan. Sampai rumah je, atuk-atuk dia main-main ngan dia. Bukak mainan baru dia. Jadi mood nak tidur dia lambat sikit la.

Aku menyusukan dia dekat pukul 1 pagi. Tak lama dia berhenti menyusu dan pusing kiri-kanan sebab tak boleh tidur. Masa tu dia menyusu belah kanan, jadi dia baring tengah-tengah antara aku dan encik apis. Dah tak boleh tidur dia pun golek-golek ke arah abah dia. Aku dan encik apis memang dah mengantuk sangat. Last aku sedar aku tengok abah Hakim dah tak de, dah turun tidur bawah atas lantai tu. Hakimnya bercakap sorang-sorang sambil pusing kiri-kanan.

Aku terus tertidur. Tiba-tiba macam dengar bunyi benda jatuh, beserta tangisan Hakim yang sangat kuat. Satu rumah terkejut, semua datang bilik aku. Pujuk-pujuk Hakim, lama jugak baru dia ok. Tak tau dia jatuh camane, belah mane yang terantuk. Abah dia pun tak sedar. Sedar-sedar Hakim dah kat bawah dan menangis.


wassalam^^

Friday, 25 May 2012

Korang tak sudi ke??

Assalamualaikum...

Hari Jummat dah tiba lagi..semalam-semalam tak de mood nak berblog. Hari ni cuba pulihkan semangat..hehe...Ok la haritu aku ada buat entry pasal pergi Cameron Highland kan. Aku nak bagi cenderahati pada yang komen di entry tu. Tapi kan aku dah pesan supaya hantar alamat diorang ke email aku lepas komen. Tapi tengok email tak de sorang pun yang bagi alamat. Huuuu...sedih la camni. Diorang tak sudi ke nak terima cenderahati aku yang tak seberapa tu. Ke korang malu-malu kucing..hehe..


Ok tak pe la, nampaknya aku kena menjejaki diorang untuk mintak alamat ni. Aku dah balas pun kunjungan semua yang komen. Tapi tak tinggalkan pesanan pun supaya diorang email alamat. So, sekarang nak kena berkunjung ke blog-blog berkenaan dan tinggalkan pesanan. Kalau lepas tu ada yang tak respon jugak tak tau la..Maybe boleh bagi kat orang lain kan..

wassalam^^

Tak de mood nak menaip entry..

Assalamualaikum...

Tak de mood je nak menaip entry. Entah la kenapa. Lepas baik dari breast bengkak atau bengkak susu hari tu, sampai sekarang nipple masih sakit bile Hakim menyusu. Seksa sangat. Entah kenapa. Macam-macam dugaan nak menyusukan Hakim. Tapi aku tak kan putus asa. Tak kan mengalah. Sakit-sakit pun bile tengok muka Hakim terus lupa pasal sakit.

Allah menguji hambanya tanda sayang pada hambanya kan. Bile dah sakit baru nak ingat banyaknya dosa selama ni. Semoga sakit yang ditanggung menjadi penghapus dosaku yang menggunung...


wassalam^^

Tuesday, 22 May 2012

Cenderahati dari Cameron Highland

Assalamualaikum...

Ok la, seperti yang telah diceritakan di entry sebelum ni, minggu lepas hari Isnin aku dan family pergi ke Cameron Highland. Ini kali keempat aku pergi CH. Kali pertama masa study kat UiTM, lawatan sambil belajar. Kali kedua masa kerja sementara di UiTM, ikut program berbuka puasa di kampung orang asli. Kali ketiga masa Hakim dalam kandungan 4 bulan. Dekat je dari kampung aku di Kuala Lipis lepas jalan baru ke CH dibuka, dalam sejam setengah sampai.

Lepas makan tengahari dan solat zuhur di Tanah Rata, terus pergi Kea Farm di Brinchang. Beli sayur-sayuran dan strawbery. Masa tengah jalan-jalan tu hujan turun pulak, tapi tak la lebat. Tapi suasana menjadi semakin sejuk la. Pipi dan telinga Hakim dah sejuk sangat. Tu yang beli topi tuk dia satu.




Lepas tu pergi ladang teh. Pergi bergambar je la. Dah tak hujan tapi keadaan lembab-lembab, tanah pun licin, tak berani turun banyak-banyak. Masuk sikit je kat barisan pokok teh tuk bergambar. Lepas tu terus bergerak balik.





Walaupun CH ni dah tak berapa sejuk, tapi dapat rasa la bezanya udara kat CH ngan kat bawah ni. Sejuk je. Tapi memang tak payah pakai baju sejuk pun. Baru dapat rasa kesejukannya.

Aku sempat membeli sedikit cenderahati dari CH untuk korang. Tapi tak banyak la. Jadi aku nak bagi kepada siapa yang rajin komen kat entry ni. Komen la apa-apa pun. Pastu jangan lupa hantar alamat korang kat email ni, suterasyifa@gmail.com. Terhad kepada 12 pengomen terawal je ye..^^





wassalam^^

apa kaitan cheesecake dan breast bengkak??

Assalamualaikum...

Seksa sangat menanggung sakit!! Breast bengkak..again?? First time dulu masa dalam pantang, boleh terima la, tak de pengalaman lagi. Lepas tu memang berhati-hati. Tapi entah camane boleh terjadi lagi. Entry sebelum ni ada bagitau birthday encik apis 18 Mei haritu kan. So hari Sabtu, 19 Mei baru dapat potong kek yang aku buat tu. Cuba tengok gambar kek kat bawah tu. Nampak cam pizza tak? Tak de rupe blueberry cheesecake pun kan.


Ok lepas potong tu terus la makan. Ok jugak rasanya. Ada la nak sama ngan cheesecake secret resepi..heheh..abaikan ayat ni ok..Makan sampai 3 potong, sebab masa tu dah tengahari, belum makan tengahari, jadi memang lapar.

Lepas tu susukan si kecik Hakim, dan tidurkan dia dalam buai. Masa tu rasa lain macam je breast sebelah kanan. Pelik gak, sebab Hakim menyusu cam biasa je. Tak lama Hakim bangun tidur, aku susukan dia belah kanan. Masa tu baru perasan breast sangat bengkak. Bila Hakim hisap je, sakit sangat kat nipple. Tapi tahan je, biarkan Hakim menyusu. Lepas tu Hakim tertidur lagi, sebab susukan dia baring, senang la dia tertidur.

Pastu aku rasa cam nak demam. Sakit kepala, breast makin sakit. Bangun makan panadol. Masa tu rasa kaki dan tangan kesejukan, menggigil. Kali ni memang teruk sangat kena dari yang first time dulu. Malamnya pergi klinik. Dapat ubat demam, surut bengkak dan antibiotik. Malam tu muntah lagi, sebab tak de selera nak makan, perut dah masuk angin. Encik apis boleh cakap breast bengkak seba aku makan cheesecake. Ada kaitan ke??

Hari Ahad ingat nak berjalan, tak dapat. Sebab bengkak tak surut-surut. Breast sampai merah. Bila pam susunya, kat nipple cam ada susu yang dah bernanah, colour kuning. Doktor cakap jangan bagi baby hisap yang tu. Tapi nak pam memang tak berapa keluar jugak susunya. Bagi Hakim hisap pun dia macam tak berapa nak. Tuam sejuk dah, tuam panas dah, masih tak de perubahan. Breast belah kiri ok je.

Hari Isnin semalam baru la rasa kurang bengkaknya. Baru boleh angkat tangan kanan ni. Kalau tak tangan kanan ni tak boleh nak angkat pun, sakit. Nak dukung Hakim pun sakit. Nak solat pun sakit bila nak sujud. Huuu..hanya Allah yang tahu...

Hari ni baru ada mood nak update. Tadi tengok email, dapat email pasal contest Sunan Musafir yang aku join haritu. Kecewa tak dapat menang hadiah buku novel edisi kulit keras tu. Tapi ok la dapat hadiah saguhati. Thanks ye Sue. 

Nak buat entry pasal Cameron Highland pun tak sempat lagi. Ada cenderamata tau dari CH untuk korang. Nantikan entrynya ye...^^

wassalam^^

Saturday, 19 May 2012

Lamanya bercuti..korang rindu kat Hakim tak??^^

Assalamualaikum...

Lamanya bercuti dari dunia blog ni..hehe..Pagi ahad lepas bertolak balik kampung di Kuala Lipis, Pahang. Pukul 10 pagi dari Bandar Tenggara, Johor, Pukul 2 petang sampai Serdang, jumpa adik ipar dulu, tengok kereta dia yang rosak. Pastu makan kat Bangi, bergerak semula pukul 4 petang. Sampai ke destinasi pukul 7 malam. Penat sangat. Tu la cabarannya kawen lagi orang jauh-jauh.


lambatnya nak sampai kampung..tidur dulu la..

Hari Isnin pulak pergi naik Cameron Highland. Dekat je dari kampung aku. Ikut Koyan, lalu kampung orang asli. Sejam sampai, tapi baru sampai Batam, dah rasa sejuk sikit la. Setengah jam lagi sampai Tanah Rata. Berenti makan tengahari. Then naik lagi ke Brinchang. Nanti la aku story lebih lagi pasal Cameron Highland ni. Layan gambar ni sekeping dulu.


ladang teh
Masa balik kampung tu ada bawa kad check up klinik Hakim. Tapi tak pergi pun klinik desa kat kampung tu. Sebab pikir tak duk lama sangat pun kat kampung. Hari rabu dah balik Johor. Jadi hari khamis pergi klinik kesihatan. Ada peningkatan sikit. Kalau bulan lepas berat Hakim naik 100 g je, bulan ni naik 500 g. Jadi berat dia 5 bulan 5.52kg. Tapi kat graf masih atas line kuning tu. Kena inject untuk 5 bulan. Biasa la, mesti menjerit si kecik tu, sekejap je, pastu terus dia tidur.

Semalam birthday my hubby a.k.a encik apis. 18 Mei. Dah niat nak buat kek. Cam tahun lepas aku buat kek coklat. Tahun ni konon-konon nak buat blueberry cheesecake. Pagi semalam pegi beli barang-barangnya. Petang semalam buat bersama adik ipar. Dua-dua memang tak pernah buat kek. Lagi-lagi cheesecake. Bantai je la ikut resepi. Tak berapa nak jadi la sebab ovennya pakai yang bulat tu stail lama tu. Ikut resepi tu ada darjah celcius dan minitnya. Tapi oven tu mana la boleh set darjah celcius nya.

Plannya malam nak potong kek tu. Tapi kena pulak malam tadi sibuk. Ada orang sewa kanopi, so malam tu kena pasang alas meja dan skirting. Balik tu kena melapah lembu pulak. Lembunya terpaksa disembelih sebab dah sakit. Sebelum lembu tu mati sia-sia je, baik la sembelih dulu kan. Lagipun kesian nak biarkan dia menderita sakit. Hari ni la baru dapat potong kek. Entah apa la rasanya kek tu. Dan hadiahnya, walaupun dah sedia lama, pun masih belum bagi sebab sibuk sangat semalam. Nanti dah potong kek (yang huduh tu) boleh tunjuk gambar kat korang..^^


wassalam^^

Wednesday, 9 May 2012

Pening + Muntah

Assalamualaikum...

Semalam entah macam mana boleh pening. Bangun pagi je rasa sakit sangat kepala. Sakitnya sebelah kiri je. Memang selalu jugak sakit kepala sebelah je, tapi semalam rasa teruk sangat. Pagi sarapan cam biasa, pastu memasak tuk tengahari.

Dalam pukul 12.30 encik apis balik. Terus ngadu kat dia pening. Masa tu rasa macam nak muntah. Terus masuk bilik dan baring atas katil. Encik apis amek minyak cap kapak tolong urutkan kepala sebelah kiri yang pening. Tak lama aku rasa cam tak tahan nak muntah dah. Encik apis suruh pergi toilet cepat, tapi tak sempat. Nasib baik dia cepat-cepat amek bakul sampah letak depan aku. Pastu apa lagi, terus aku muntah dalam tu. Keluar semua yang aku makan waktu sarapan. Heee...encik apis tu dah la geli ngan muntah, tapi sanggup jugak dia buangkan muntah tu.




Dah tak de selera nak makan. Dah petang baru encik apis carikan bubur ni. Bukan bubur McD ye. McD tak de kat Bandar Tenggara ni. Bubur nasi Yann. Kalau yang duduk area Kluang tu tau la bubur ni. Macam francais jugak la, jual pakai stall, banyak kat Kluang tu, kat Bandar Tenggara ni pun ada dua yang bukak stall Bubur Yann ni. Selain bubur ada jual ayam goreng dan rangka ayam. Boleh tahan la bubur ni, walaupun tak sesedap bubur McD. Bawang goreng tu memang aku ketepikan sebab memang tak suka makan. Encik apis la, tak ingat nak cakap tak yah letak bawang goreng.  

Entah la kenapa sampai boleh muntah. Encik apis cakap masuk angin la tu perutnya. Entah la bile pulak angin sempat masuk perut aku. Tapi memang lega lepas muntah tu. Tapi ingatkan dah kurang peningnya, tak jugak. Sampai malamnya aku telan panadol actifast. Pagi tadi baru rasa hilang peningnya. Tapi sekarang dah pening balik. Memang aku ni susah nak baik kalau dah start pening. Sampai 2-3 hari baru hilang.


wassalam^^

Monday, 7 May 2012

'Sunan Musafir Contest yang Sueperbs'

Assalamualaikum...

Terima kasih Sue jemput untuk join contest ni. Ingatkan contest apa je, tengok-tengok hadiahnya buku novel Sunan Musafir edisi kulit keras yang dijual masa Pesta Buku hari tu. Terus teruja nak join. Nak tau kenapa?? Jom baca alkisahnya...

nak join? click gambar ye^^

Ok camni kisahnya..Aku memang peminat setia novel Ramli Awang Murshid ni. Lagi-lagi novel kisah Sunan ni. Laksamana Sunan adalah nama gelaran kepada watak utama novel ni, Saifudin. Sunan Musafir ni adalah sambungan ke-6 dari novel pertama iaitu Bagaikan Puteri. Sambungan kedua..Cinta Sang Ratu, ketiga..Hijab Sang Pencinta, Keempat..Cinta Sufi, dan kelima..Sutera Bidadari. Memang dah lama tunggu sambungan Sutera Bidadari tu. Akhirnya keluar pun Sunan Musafir ni.

Sebab apa aku suka baca novel ni?? Novel ni novel thriller. Imaginasi Ramli Awang Murshid ni memang tak tercapai akal kita. Novelnya banyak pengisian, bukan sekadar cerita je, banyak pengajaran dan ilmu dapat ditimba.

Kalau korang nak tau, entry pertama aku masa mula-mula ada blog ni, aku cerita tentang novel ni la. Masa tu Sutera Bidadari baru keluar. Tak caya cuba klik sini.

Bila tau Ramli Awang Murshid ada masa Pesta Buku dan novel Sunan Musafir ni akan dijual edisi kulit keras, terkilan sangat sebab mustahil la aku dapat pergi. Mustahil la aku nak ajak encik apis pergi KL tu. Jauh tu dari Johor, encik apis tu dah la seorang yang sibuk dengan kerjanya.

Jadi bila adik ipar yang study kat UPM dan tengah praktikal di Bangi, sms yang dia nak pergi Pesta Buku, aku pun terus la kirim kat dia belikan novel edisi kulit keras tu. Tapi dia pergi 30 April, orang karangkraf tu cakap 5,6 hb Mei baru novel kulit keras tu akan dijual dan Ramli Awang Murshid ada. Jadi sangat kecewa.

Bila baca entry Sue ni, sangat jeles la sebab dia dapat Sunan Musafir edisi Kulit keras tu dan dapat autograph lagi. Huhu..sedihnya tak dapat.

Sue..pilih la kita tuk dapat hadiah novel kulit keras tu ye..^^


wassalam^^



Dah sebulan baru dapat hadiah birthday

Assalamualaikum...

Dah sebulan berlalu birthday aku, encik apis la sibuk sangat dengan kerja sampai hadiahnya nak surprise pun dah tak jadi surprise. Samsung Galaxy S11. Semalam aku sendiri yang pilih..colour putih, boleh tak..?? Dah lama teringin nak dapat menda ni. Konon-konon encik apis nak surprise bagi hadiah birthday, tapi dah lama sangat aku pun dah tau la.



Cam berlagak pulak nak gtau semua orang siap letak gambar ni kan. Orang lain dah lama kot ada, lagi canggih kot..Aku ni dah la buta IT dan teknologi. Terkial-kial nak guna menda ni. Yela, sebelum ni pakai enset biasa je pun.



wassalam^^

Thursday, 26 April 2012

Hakim kecik-kecik dah playboy??

Assalamualaikum...

Hakim playboy?? Hehe..mane lah Hakim tau apa-apa kan. Sebenarnya Ahad lepas kami pergi ke  rumah kawan waktu study dulu. Rumahnya dalam 45 minit jugak dari rumah kitorang. Diorang suami isteri pun memang kawan aku dan encik apis masa study dulu. Sama macam kawan yang aku citer kat sini, sini, dan sini. Kawan yang sebelum ni baby diorang girl kan. Nama babynya Nur Aisyah Aqilah, umur 2 bulan lebih.


Hakim dan Aisyah

Kawan yang baru jumpa Ahad lepas pulak, dah dapat anak kedua, babynya girl jugak. Panggil Aina. Aina ni lahir 15/12/2011, Hakim pulak lahir 11/12/2011. Beza 4 hari je la. Comel sangat Aina ni..semangat betul badan dia.


Hakim dan Aina

Dua kali Hakim bersanding dengan dua awek ye. Memang playboy la. Tak pe baby lagi. Nanti dah besar jangan menggatal sudah. Tengok la gambar atas tu, Hakim siap pegang tangan Aina lagi.

Seronok pulak bile jumpa balik kawan-kawan masa belajar dulu. Masing-masing dah ada anak. Dulu bincang pasal pelajaran, sekarang bincang pasal anak pulak...hehe..

wassalam^^

Tuesday, 24 April 2012

My Blogshop > Anggun Solehah Shop

Assalamualaikum...

Lama tak update. Sibuk ke..?? Tak de la sibuk sangat. Perasan tak kat sidebar tu ada link blogshop tu. Beberapa hari ni dok sibuk menyiapkan blog baru, blogshop tau.

Kenapa tetiba je nak buat blogshop pulak ni?? Sebelum ni asyik shopping online je kat blog orang. Jadi terpikir la nak berbisnes jugak. Dah lama jugak terpikir nak buat bisnes. Tapi tak tau nak jual ape. Jadi baru sekarang datang idea dan ada peluang nak berbisnes.

InsyaAllah dapat la menambah pendapatan sikit-sikit, sebab aku ni memang duduk rumah je, tak kerja pun. Bisness online dari rumah je, senang sikit nak jaga anak kan.

Jom la ramai-ramai singgah di Anggun Solehah Shop (best tak nama ni??hehe). Dah singgah tu shopping la banyak-banyak ye^^

Sayang korang semua..^^


wassalam^^

Thursday, 19 April 2012

Dah sihat dari batuk yang teruk

Assalamualaikum…

Alhamdulillah..semakin sihat..dah tak batuk lagi dah, cuma kadang-kadang ada jugak batuk sikit-sikit, tapi sangat jarang dah sekarang, sebelum ni memang sangat teruk. Kalau yang baca entry ni tau la kan. Sebelum ni dah tiga kali pergi ke klinik yang sama dan tiga jenis ubat dah doktor tu bagi. Tetap tak baik jugak.

Jadi hari selasa minggu lepas aku pergi klinik lain, Poliklinik Norhayati.  Doktor tu terkejut la bila aku cakap dah batuk sejak awal bulan februari. Dia bagi 3 jenis ubat, ubat batuk biji, ubat tekak merah, dan antibiotik. Dan doktor tu buat surat suruh aku pergi klinik kesihatan kerajaan untuk buat test kahak dan darah. Suspek tibi??takut je dengar.

So hari rabu cuti kan, hari khamis kebetulan check up Hakim 4 bulan, aku pun check la sekali, bagi surat tu. Encik MA (medical assistant) tu pun terkejut sebab dah 2 bulan lebih batuk baru nak datang KK. Dia suruh aku g makmal untuk buat test kahak. Pergi makmal, akak tu cakap kena bagi sampel kahak time tu jugak, untuk sampel pertama, esoknya kena datang lagi untuk sampel kedua dan ketiga.

Aku pun g toilet, tapi memang tak boleh nak keluar kahak sebab batuk aku memang ada kahak tapi sikit je dan kadang-kadang je kahaknya ada. Eee…geli pulak korang baca pasal kahak-kahak ni kan. Jadi akak tu cakap start jumaat je sample pertama, isnin dan selasa sample kedua dan ketiga.

Tapi sampai hari ni aku belum hantar sample pertama pun lagi. Sebab tak de. Sejak makan ubat dari Poliklinik Norhayati tu memang ada perubahan. Baru makan sehari dah kurang batuknya. Dah sekarang tak tau nak cakap apa kat KK tu, sampai hari ni belum pergi KK tu lagi.

Harap-harap kali ni memang betul-betul baik dari batuk tu. Jangan la datang lagi wahai batuk yang teruk…hehe..^^


tengah tidur pun nak golek lagi dan masih tidur dalam keadaan meniarap ni..^^

~wassalam~

Tuesday, 17 April 2012

Hujung minggu di Melaka & Johor Premium Outlets

Assalamualaikum...

Sabtu dan ahad lepas puas berjalan melepaskan kebosanan. Biasa hari ahad je dapat berjalan pun. Sebab hari sabtu encik apis memang kerja. Tapi sabtu lepas sebab ada jemputan majlis perkahwinan kawan aku di Melaka, jadi kerja separuh hari. Tengahari sabtu bertolak ke Melaka. Tapi dah pukul 2 petang pun masa bertolak tu.

baru gerak dah terlentok budak ni..
Jadi 4.30 petang baru sampai di rumah pengantin. Memang dah tak de orang la, tinggal sedara-mara dan jiran terdekat je. Pasangan pengantin pulak dah keluar untuk outdoor photography. Kawan aku ni kira ex-officemate la masa kerja kat Putrajaya dulu. Kakak dia dua orang pun memang dah kenal sebab duk satu rumah sewa kat Putrajaya dulu. Jadi sementara tunggu pengantin balik, aku borak-borak la dengan kakak-kakak pengantin. Lama jugak duduk situ, dah pukul 7 malam baru pengantin balik. Bergambar dan borak-borak kejap, then bergerak balik johor pukul 8 malam. Sangat kecewa sebab tak dapat jumpe kawan-kawan lain yang datang sebab sampai lambat kan.

pengantin dah nak bukak baju sempat lagi bergambar..
Ahad pulak, kakak aku yang duk kuantan tu datang Johor. Dia pun pergi jemputan kawen jugak di Muar. Kebetulan dah kat johor, dia dan kawan dia nak pergi ke Johor Premium Outlets kat Kulai. Memang dekat sangat la dengan tempat tinggal aku. Jadi kitorang pun join la pergi JPO pagi ahad tu dalam pukul 11 pagi.


JPO ni tempat shopping barang-barang branded dan of course la mahal-mahal barang-barang nya. Macam-macam jenama ada kat sini. Kawasan dia cantik, tapi kalau tengah panas tu boleh basah baju dibuatnya, sebab dia bukan macam shopping complex tu, dalam kedai je ada aircond, kat luar terbuka je. Kitorang ni macam la kaya-raya sangat nak shopping kat sini kan. Harga ada sampai beribu-riban. Window shopping je lah ye..hehe..

masuk cuci mata je..
Sebelum balik sempat beli aiskrim Baskin Robbin dan juga coklat di outlet Fidani. Tu pun adik ipar yang suka makan aiskrim dan coklat tu. Dah dekat 2 petang masa balik tu, perut pun dah lapar. Jadi terus pergi makan di Rasamas. Jauh sikit sebenarnya nak pergi Rasamas ni, kat Jusco Taman U, tapi sebab kat situ je yang ada, dan memang nak sangat makan Rasamas, so pergi je la kan.

hakim dah kepenatan ni..
wassalam^^

Friday, 6 April 2012

Dah tak tahan dengan batuk ni..-.-

Assalamualaikum...

Sangat terseksa rasanya selama ni dengan batuk ni. Dah lama jugak aku batuk camni. Dari hujung bulan Januari lagi, sampai sekarang. Batuknya bukan macam batuk biasa tu. Bila nak batuk tu rasa cam ada sesuatu kat tekak ni, pastu terus batuk bertalu-talu sampai dapat lepaskan rasa 'sesuatu' kat tekak tu. Mula-mula batuk tu kering, lama-lama macam ada kahak jugak sikit. Dah pergi klinik. Mula-mula doktor bagi ubat batuk yang warna hitam tu. Tak baik lagi, pergi klinik yang sama. Doktor bagi ubat batuk Iridin dan antibiotik.

 sedap ubat batuk ni rasa blackcurrant

Dah abis ubat dan antibiotik tu, rasa dah baik, dah tak batuk lagi. Tapi kejap je kot. Tak lama batuk lagi. Aku pun pergi mintak ubat yang sama je kat klinik tu, tak jumpa doktor pun. Tapi bila dah abis ubat tu, masih batuk lagi, terpaksa la pergi klinik tu lagi, jumpa doktor. Doktor pun dah tak tau nak bagi ubat apa. Dia cakap takut nak kena lelah. Dia bagi ubat semput/lega dada yang warna putih jernih tu.

sangat tak sedap ubat ni
Ubat ni baru makan 3 kali. Batuknya macam makin teruk je. Biar betul doktor ni...huahaaa..dah tak tahan ni. Bila batuk je sangat seksa, kadang-kadang sampai nak muntah, ada la jugak 2-3 kali muntah. Entah batuk jenis apakah ini..korang pernah rasa tak??

tengah batuk ni..sambil habiskan menaip entry -.-

wassalam-.-