Wednesday, 2 November 2011

Aidiladha~Amalan Korban

Assalamualaikum...

Hari ni dah 6 Zulhijah, lagi 4 hari lagi umat islam akan menyambut Aidiladha pada 10 Zuhijah 1432H. Bila sebut Aidiladha semua maklum ianya sinonim dengan dua ibadat agung iaitu ibadat haji dan korban. Ok la, kat sini aku nak share beberapa perkara tentang amalan korban ni, yang diambil dan diringkaskan dari majalah Solusi isu no.36.


Definisi Ibadah Korban

Korban atau udhiyyah dalam bahasa Arabnya, bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada hari Nahar atau Hari Raya Haji pada 10 Zulhijah dan pada hari-hari Tasyrik (11,12,13 Zulhijah) bertujuan untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah s.w.t.


Dalil Pensyariatan

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Dan bagi setiap umat sudah Kami syariatkan penyembelihan (korban) supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternakan yang direzekikan Allah kepada mereka." (Surah al-Hajj 22:34).

Melalui hadis pula telah diriwayatkan bahawa: "Rasulullah s.a.w. juga telah menyembelih dua ekor kibas putih yang bertanduk besar sebagai korban dengan tanagnnya sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir, serta meletakkan kaki Baginda di tengkuk kibas tersebut." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Hikmah dan Fadilat

Korban ialah ibadat. Setiap korban yang dilakukan kerana ibadat mempunyai hikmah dan faedah selain mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Ia juga sebagai melahirkan tanda kesyukuran kepada Allah terhadap nikmat-nikmatNya yang melimpah ruah. Hikmah yang paling jelas dan tinggi nilainya adalah untuk menghayati pengorbanan agung yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. yang sanggup menyahut perintah Allah untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s.

Antara hikmah lain, ibadat korban menolong orang fakir dan mereka yang berhajat serta bagi menggembirakan mereka, anak isteri dan keluarga pada hari raya. Ini dapat menanam perasaan kasih sayang antara si kaya dengan si miskin seterusnya mengeratkan hubungan persaudaraan antara anggota masyarakat Islam dan semangat berjemaah.


Hukum

Hukum korban dibahagi kepada dua:

Pertama: Sunat mu'akkad bagi orang yang cukup syarat-syaratnya iaitu Islam, akil baligh dan berkemampuan.

Kedua: Mewajibkan dirinya sendiri sama ada untuk berkorban kerana mendekatkan diri kepada Allah atau bernazar.


Apa yang Perlu Dikorbankan

Korban hanya sah dengan unta, lembu (kerbau), kambing dan biri-biri. Yang paling afdal ialah unta, diikuti lembu dan kambing. Harus berkorban dengan seekor unta atau lembu jantan atau betina untuk tujuh orang.

suburkan syiar ibadat korban dalam masyarakat Islam

 Syarat Binatang Korban

Cukup Umur: Umur unta disyaratkan masuk tahun keenam. Umur lembu dan kambing telah masuk tahun ketiga, manakala biri-biri pula telah masuk tahun kedua atau telah tanggal gigi hadapannya sekalipun umurnya belum sampai setahun.

Tidak Cacat: Ketiga-tiga jenis binatang korban tersebut tidak cacat yang menyebabkan kurang dagingnya. Juga tidak sah korban kambing yang terlalu kurus, sangat tempang, buta sebelah mata, berpenyakit atau putus sebelah telinganya.
Setiap perkara yang menyebabkan binatang itu kurus dan kurang dagingnya hendaklah dikiaskan kepada keempat-empat kecacatan tersebut.


Cara Pengagihan Daging Korban

Jika melakukan korban sunat, harus bagi yang berkorban memakan sebahagian daging korban dengan syarat disedekahkan sebahagiannya. Tetapi yang afdalnya ialah dia memakan sedikit untuk mendapat keberkatan dan selebihnya disedekahkan. Dia juga boleh memakan 1/3 bahagian, menyedekahkan 1/3 bahagian kepada fakir miskin, dan 1/3 bahagian dihadiahkan kepada sahabat handai dan jiran tetangga sekalipun mereka kaya.

Jika korban wajib pula (nazar atau yang mewajibkan sendiri), jumhur ulama telah sepakat berpendapat bahawa haram memakan dagingnya oleh yang berkorban dan mereka yang di bawah tanggungannya. (Al-Fiqh al-Manhaji).


Ok la, semoga kita sama-sama dapat menghayati hikmah ibadat korban yang menjadi ibadat utama selain ibadat haji pada setiap Hari Raya Aidiladha.

~Wassalam~

No comments: